Sampai adegan Mak Nab keluar dari dapur dengan tangan penuh
dengan bancuhan tepung goreng pisang, lamunan Salam terhenti. Mungkin imbasan
ini tidak akan bersambung lagi.
“Assalamualaikum…”
“Hoh? Waalaikumsalam…” Salam bangun menuju ke pintu depan
rumah sewanya. Namun tangannya sempat mencapai bungkusan ‘neskepe’ ais buat
bekalan. Sambil berjalan ke pintu, Salam membuka ikatan 'neskepe' ais lalu
memasukkan penyedut minuman. Mulutnya menyedut straw. Padu 'neskepe' ais
menerjah kerongkong. Pintu rumah Salam dikuak perlahan.
Di hadapannya kini tercegat dua orang lelaki dalam
lingkungan umur tiga puluhan. Seorang yang berperut bunct dan nampak tua
sedikit memegang fail di tangan. Di sebelahnya lelaki yang kurus tinggi gaya
seperti belum berumahtangga sedang menjinjing tangga lipat. Tangga lipat itu
bersaiz rendah kerana mempunyai lima 'step' sahaja. Mungkin supaya ia mudah
dimuatkan dalam but kereta.
Salam menyapa kedua lelaki tersebut,
“Ada apa ni encik?”
Suaranya agak kurang jelas namun dapat difaham. Natijah melakukan perbuatan
bercakap sambil menggigit straw.
Lela yang berperut bunct sedikit, menaikkan pinggang
seluarnya.
“Kami wakil TNB. Nak tukar meter rumah encik ni.” Matanya
sesekali mengerling ke arah bungkusan ‘neskepe’ ais di tangan Salam. Buah
halkumnya berombak.
"Tukar meter? Saya tak tahu menahu pun?” Salam
membalas.
Pemuda yang kurus tinggi sudah mula mendepakan tangga
aluminium. Setelah tangga mantap berdiri, dia menggaru-garu kepala.
Terhiling-hiling dua tiga kali terus dia keluar dari kawasan pagar rumah Salam.
“Kawasan ni semua memang nak kena tukar sekarang. Encik tak
dapat memo ke? Baris rumah tepi padang tu dah habis dah kami buat” Terang lela
berperut buncit seolah-olah Salam pula yang menjadi mandurnya. Seluarnya masih
terlondeh. Riak gelisah wajahnya menampakkan seperti dia tergesa-gesa keluar
dari rumah pagi tadi hingga terlupa memakai talipnggang. Pun begitu, matanya
tetap melirik pada 'neskepe' ais.
“Ohhh! Kalau begitu encik nak tukar, tukarlaaa. Ni
sebenarnya bukan rumah saya. Apa-apa hal nanti saya bagi tahu tuan rumahlah,”
Salam membalas.
"Tapi api kita kena ‘off’ dulu sekejap..." Lelaki
berperut buncit memberi taklimat mengenai modus operandi mereka.
Salam mengangguk tanda faham. Dia memulas tombol pintu rumah
yang tadinya tertutup sendiri dengan tangan kiri. Tangan kanannya sedang sibuk
bertugas menggantung tangkai plastik 'neskepe' ais.
Terkial-kial juga Salam memusing tombol pintu tersebut namun
daun pintu tidak juga mahu terselak. Memandangan dia seorang pengguna tangan
kanan, 'setting' fikirannya tidaklah bersedia sangat. Sama ada nak pulas ikut
arah jam atau lawan jam.