Rabu, 18 April 2012

B.A.C.A – (Chapter 1 – Pagi Yang Psiko - Muka 1)


Salam hulurkan jari telunjuk ke dalam lubang tengah bangku plastik merah. Setelah yakin dengan kekuatan lelaki yang dia ada, Salam membengkokkan jari lalu mencangkuk kerusi setinggi dua kaki itu

Dia beralih ke sudut meja yang paling hampir dengan kipas kaki. Kipas kaki elektrik itu kelihatan sangat buatan Malaysia kerana ia berwarna ‘merun’. Bungkusan nasi lemak dan ‘neskepe’ ais diletakkan di atas meja makan rumah solonya itu. Begitu juga kunci motor. Kunci motornya ber’key-chain’kan rantai halus yang putus.

Perlahan-lahan dengan tangan kanan yang kosong, Salam mencapai akhbar yang elok berlipat dua dari celah kepitan lengannya. Serta merta ketiak kirinya melepaskan kepitan sebagai tanda ketiak yang bekerjasama.

Ruap air yang terbit dari plastik ‘neskepe’ ais mula membasahi kertas pembalut nasi lemak. Salam tidak menghiraukan. Matanya lebih tertancap pada muka depan Warta Kota yang dibelinya tadi. Sedang matanya ralit membaca, tangannya menggagau meraba suis kipas kaki. Yakin yang itu adalah butang kipas nombor tiga, Salam menekan.

“Tap!” Kipas tidak berfungsi.

Barulah kini Salam sedar yang dia tidak memberikan perhatian penuh kepada kipas. Belaian matanya kini mula beralih kasih. Daripada muka hadapan surat khabar kepada kipas elektrik.




*bersambung...