Sabtu, 21 April 2012

B.A.C.A - (Chapter 1 - Pagi Yang Psiko - Muka 4)


Sampai adegan Mak Nab keluar dari dapur dengan tangan penuh dengan bancuhan tepung goreng pisang, lamunan Salam terhenti. Mungkin imbasan ini tidak akan bersambung lagi.

“Assalamualaikum…”

“Hoh? Waalaikumsalam…” Salam bangun menuju ke pintu depan rumah sewanya. Namun tangannya sempat mencapai bungkusan ‘neskepe’ ais buat bekalan. Sambil berjalan ke pintu, Salam membuka ikatan 'neskepe' ais lalu memasukkan penyedut minuman. Mulutnya menyedut straw. Padu 'neskepe' ais menerjah kerongkong. Pintu rumah Salam dikuak perlahan.

Di hadapannya kini tercegat dua orang lelaki dalam lingkungan umur tiga puluhan. Seorang yang berperut bunct dan nampak tua sedikit memegang fail di tangan. Di sebelahnya lelaki yang kurus tinggi gaya seperti belum berumahtangga sedang menjinjing tangga lipat. Tangga lipat itu bersaiz rendah kerana mempunyai lima 'step' sahaja. Mungkin supaya ia mudah dimuatkan dalam but kereta.

Salam menyapa kedua lelaki tersebut,

“Ada apa ni encik?” Suaranya agak kurang jelas namun dapat difaham. Natijah melakukan perbuatan bercakap sambil menggigit straw.

Lela yang berperut bunct sedikit, menaikkan pinggang seluarnya.

“Kami wakil TNB. Nak tukar meter rumah encik ni.” Matanya sesekali mengerling ke arah bungkusan ‘neskepe’ ais di tangan Salam. Buah halkumnya berombak.

"Tukar meter? Saya tak tahu menahu pun?” Salam membalas.

Pemuda yang kurus tinggi sudah mula mendepakan tangga aluminium. Setelah tangga mantap berdiri, dia menggaru-garu kepala. Terhiling-hiling dua tiga kali terus dia keluar dari kawasan pagar rumah Salam.

“Kawasan ni semua memang nak kena tukar sekarang. Encik tak dapat memo ke? Baris rumah tepi padang tu dah habis dah kami buat” Terang lela berperut buncit seolah-olah Salam pula yang menjadi mandurnya. Seluarnya masih terlondeh. Riak gelisah wajahnya menampakkan seperti dia tergesa-gesa keluar dari rumah pagi tadi hingga terlupa memakai talipnggang. Pun begitu, matanya tetap melirik pada 'neskepe' ais.

“Ohhh! Kalau begitu encik nak tukar, tukarlaaa. Ni sebenarnya bukan rumah saya. Apa-apa hal nanti saya bagi tahu tuan rumahlah,” Salam membalas.

"Tapi api kita kena ‘off’ dulu sekejap..." Lelaki berperut buncit memberi taklimat mengenai modus operandi mereka.

Salam mengangguk tanda faham. Dia memulas tombol pintu rumah yang tadinya tertutup sendiri dengan tangan kiri. Tangan kanannya sedang sibuk bertugas menggantung tangkai plastik 'neskepe' ais.

Terkial-kial juga Salam memusing tombol pintu tersebut namun daun pintu tidak juga mahu terselak. Memandangan dia seorang pengguna tangan kanan, 'setting' fikirannya tidaklah bersedia sangat. Sama ada nak pulas ikut arah jam atau lawan jam.

B.A.C.A.: Bacalah Dengan Jelas - (Free Flow Part)



" .. Tiba tiba anak arnab yang rupanya seakan - akan menyerupai chipmunks itu berkata - kata padanya ... Salam amat terkejut dengan apa yang sedang berlaku betul -betul  ' secara langsung ' di hadapan matanya itu.. Biji matanya terbeliak seperti mahu terkeluar.  Suara binatang itu garau dengan tahap bass yang sangat tinggi. Ia agak tersasar dari jangkaan Salam selama ini. Jauh tersasar. 

" ... Norma kebiasaannya binatang secomel ini pastinya bersuara halus, manja dan keanak - anakan yang bisa mencairkan hati semua orang menjadi lembut dan penyayang. Tapi tidak pada hari ini, saat ini.. Suaranya seolah - olah persis seorang ' sifu ' yang memberikan amanat terakhir pada anak didik pewaris perguruannya. .. " 

" ... Suasana disekeliling Salam seolah -olah terhenti. Tiada satu pun bunyi yang kedengaran, Semua aktiviti yang berlaku disekelilingnya tadi telah hilang entah ke mana. Tiada satu pun pergerakan objek dapat dikesan, walaupun pergerakan angin. Telinganya seolah - olah dicucuk dan dihentam oleh suatu tekanan atmosfera yang amat tinggi ... "

" ... Kini ruang waktu dan tempat itu hanyalah di antara dia dan anak arnab itu sahaja... Anak arnab itu merenung tepat ke dalam mata Salam, sambil menggerak - gerakkan kepalanya...

 " Salaam ... " Itulah perkataan pertama yang terpacul keluar dari mulut dan ' gigi arnab ' anak arnab  itu. Salam terpaku ... 

" ... Tidak tahu apa yang harus dijawabnya ... seluruh badannya seolah - olah menggigil tidak bertenaga. Kesejukan,  namun peluh tak henti henti mengalir dari setiap rongga bulu roma Salam ... " Kau bagi salam kat aku ke, kau panggil nama aku? " Soal salam inginkan kepastian dari anak arnab itu ... " Aku panggil nama kaulah!! Kalau aku bagi salam, Assalamualaikum !! ... " Jawab anak arnab itu selamba ...  "

" ... Salam merasakan seolah - olah pernah mendengar perbualan ini sebelum ini dengan kawan baiknya Mat Jidin. " Engkau ni siapa sebenarnya???" salam memberanikan diri bertanya kepada binatang tersebut. Manalah tahu roh Mat Jidin telah menyerap masuk ke dalam badan comel si arnab cokelat ini... " Siapa aku tak penting ... Yang penting kau mesti BACA, kau mesti BACA .." Sambung anak arnab itu lagi ... " 


" .. Baca apa ?? " Tanya Salam Kehairanan.. " BACA-lah dengan jelas dan terang , agar kau faham dan sedar apa yang kau baca ... Fikirlah dengan fikiran yang tenang apa kewajiban kau ... " Begitu dalam makna yang tersirat dari jawapan anak arnab itu .. "

" ... Salam terdiam, terkedu. Mulutnya terkunci, tak mampu berkata apa - apa lagi.  Sejurus selepas itu, keadaan kembali kepada suasana normal. Bunyi deruman kenderaan kembali bergema, suara jeritan kanak - kanak bermain juga kedengaran. Angin petang kembali bertiup tenang. Anak arnab itu juga kembali bisu .... "


** Bersambung di dalam naskhah novel yang akan terbit di pasaran tak lama lagi .... Nantikannya

Salam


B.A.C.A.

NYSM  ® all rights reserved


B.A.C.A - (Chapter 1 - Pagi Yang Psiko - Muka 3)

Bila tengok kumpulan semut itu gugur di medan perjuangan, Salam teringatkan keluarganya di kampung. Wajah ibunya Mak Nab dan adik-adiknya Salim dan Salman silih berganti di fikiran.

“Abang kata janganlah makan kat sini. Bersepah nanti semut datang la..” Tegas Salam mewarisi kepimpinan arwah ayahnya, Encik Shuib.

Salim dan Salman tidak memandang langsung muka abang mereka. Mulut mereka sedang asyik mengunyah ketulan nugget ayam berbentuk hati sambil mata tepat ke arah skrin tivi. Kemudian mereka tertawa. Bukan kerana mengejek abang sulung mereka itu tetapi lebih kepada tidak tahan melihat betapa kelakarnya melihat mahluk asing itu jatuh berguling disepak Kamen Rider.

Dalam ketawa yang terbahak-bahak pada skala 3, tiba-tiba kaki Salim tersepak gelas sirap yang berada di sisi pinggan menemani.

“Praaaaaaaaaaaaaaaaaa!”


Salam kaget. Air tumpahan itu meluru ke arah buku lali bagaikan tsunami. Sekaligus membasahi hujung seluar jeannya yang carik di tumit.

“Aku dah kata!!!”


“”Pang!!!!”
Sebuah tamparan hinggap ke pipi Salim dengan begitu hebat tanpa ada kata-kata aluan.

“Uwaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!” Salim berteriak sambil memegang pipi. Dia bingkas bangun meluru ke dapur dengan merengus. Dalam perjalanan ke dapur, habis juga bunga plastik, kotak tisu serta ubat-ubatan "Dairek Selling" Mak Nab dilemparkan ke lantai. Salim mengamuk. Jenis panas baran mengalahkan ahli parlimen bersidang.

Salman yang baru berusia tujuh tahun memerhatikan sahaja gelagat kedua orang abangnya sambil mencicah nugget terakhir ke pinggan sos. Selesai menyuap, dia mengesat kesan minyak di tangan ke baju. Dia memeluk lutut. Sambung melihat makhluk asing dibelah.