Khamis, 19 April 2012

B.A.C.A – (Chapter 1 – Pagi Yang Psiko - Muka 2)

Salam kembali tenang setelah mengetahui punca kipasnya mati. Mengampu meja, dia bangkit lalu menguis bangku plastik dengan paha. Tangannya segera memetik suis tiga pin di tiang. Maka segeralah kipasnya berputar.

“Trrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr!” Kipas eletrik bersuara. Lambang ia semakin dimamah usia.

Salam kembali duduk. Mood pembacaannya tergendala seketika. Untuk memulihkan keadaan, Salam menghabiskan kerja yang sepatutnya didahulukan pagi ini iaitu bersarapan.

Dia meleraikan tangkai plastik yang memang sengaja disimpul bentuk riben supaya mudah dibuka. Dengan sekali tarik punca ikatan, bergolek terkulai bungkusan ‘neskepe’ ais yang diikat mati. Peluh ais mula membasahi meja. Hampir-hampir terkena surat habar yang dibacanya tadi. Cepat-cepat pula Salam mengalihkan surat khabar Warta Kota.

Meja itu harus diberi ruang dan peluang yang luas untuk Salam mula menghadap makanan.

Ketika dia baru mula hendak membuka bungkusan nasik lemak, dia ternampak akan sesuatu. Hatinya mula dihimpit rasa amarah. Akhbar kosmopolitan yang tadinya diletakkan di penjuru meja, diambil semula. Cepat-cepat dia menggulung dan menghentam sesuatu di atas meja.

“Tar! Tar! Tar!” Meletup-letup bunyi pukulan. Memberikan impak memecah keheningan pagi yang syahdu.

Hati Salam bergetus, “Aku baru letak sekejap, kau dah hurung…”

Menyambung geram, Salam memberi hempukan terakhir.

“TARRRRRRRRRRRRRRRRRR!!!!!”

Habis penyek sekumpulan makhluk kerdil itu dibelasah Salam.

Semut-semut itu melekat di muka meja dalam keadaan yang menyayat hati. Sebahagian daripadanya berkaki ke atas dan menggigil-gigil. Ketika inilah mula hadir penyesalan di sanubari.

Sayu. Pilu. Sadis. Kejam.

Dan entah dari mana, datang satu suara yang membisik ke telinga Salam.

“Kau Pembunuh Salam! Kau pembunuh! Pembunuh akan masuk neraka! Neraka! Neraka!!!...”