Sabtu, 21 April 2012

B.A.C.A - (Chapter 1 - Pagi Yang Psiko - Muka 4)


Sampai adegan Mak Nab keluar dari dapur dengan tangan penuh dengan bancuhan tepung goreng pisang, lamunan Salam terhenti. Mungkin imbasan ini tidak akan bersambung lagi.

“Assalamualaikum…”

“Hoh? Waalaikumsalam…” Salam bangun menuju ke pintu depan rumah sewanya. Namun tangannya sempat mencapai bungkusan ‘neskepe’ ais buat bekalan. Sambil berjalan ke pintu, Salam membuka ikatan 'neskepe' ais lalu memasukkan penyedut minuman. Mulutnya menyedut straw. Padu 'neskepe' ais menerjah kerongkong. Pintu rumah Salam dikuak perlahan.

Di hadapannya kini tercegat dua orang lelaki dalam lingkungan umur tiga puluhan. Seorang yang berperut bunct dan nampak tua sedikit memegang fail di tangan. Di sebelahnya lelaki yang kurus tinggi gaya seperti belum berumahtangga sedang menjinjing tangga lipat. Tangga lipat itu bersaiz rendah kerana mempunyai lima 'step' sahaja. Mungkin supaya ia mudah dimuatkan dalam but kereta.

Salam menyapa kedua lelaki tersebut,

“Ada apa ni encik?” Suaranya agak kurang jelas namun dapat difaham. Natijah melakukan perbuatan bercakap sambil menggigit straw.

Lela yang berperut bunct sedikit, menaikkan pinggang seluarnya.

“Kami wakil TNB. Nak tukar meter rumah encik ni.” Matanya sesekali mengerling ke arah bungkusan ‘neskepe’ ais di tangan Salam. Buah halkumnya berombak.

"Tukar meter? Saya tak tahu menahu pun?” Salam membalas.

Pemuda yang kurus tinggi sudah mula mendepakan tangga aluminium. Setelah tangga mantap berdiri, dia menggaru-garu kepala. Terhiling-hiling dua tiga kali terus dia keluar dari kawasan pagar rumah Salam.

“Kawasan ni semua memang nak kena tukar sekarang. Encik tak dapat memo ke? Baris rumah tepi padang tu dah habis dah kami buat” Terang lela berperut buncit seolah-olah Salam pula yang menjadi mandurnya. Seluarnya masih terlondeh. Riak gelisah wajahnya menampakkan seperti dia tergesa-gesa keluar dari rumah pagi tadi hingga terlupa memakai talipnggang. Pun begitu, matanya tetap melirik pada 'neskepe' ais.

“Ohhh! Kalau begitu encik nak tukar, tukarlaaa. Ni sebenarnya bukan rumah saya. Apa-apa hal nanti saya bagi tahu tuan rumahlah,” Salam membalas.

"Tapi api kita kena ‘off’ dulu sekejap..." Lelaki berperut buncit memberi taklimat mengenai modus operandi mereka.

Salam mengangguk tanda faham. Dia memulas tombol pintu rumah yang tadinya tertutup sendiri dengan tangan kiri. Tangan kanannya sedang sibuk bertugas menggantung tangkai plastik 'neskepe' ais.

Terkial-kial juga Salam memusing tombol pintu tersebut namun daun pintu tidak juga mahu terselak. Memandangan dia seorang pengguna tangan kanan, 'setting' fikirannya tidaklah bersedia sangat. Sama ada nak pulas ikut arah jam atau lawan jam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nak tumpang merepek? Ikut suka kau lah...